Cetak

Sambutan dan Laporan Maulidur Rasul 2012

Baru-baru ini, Politeknik Muadzam Shah telah mengadakan Sambutan Maulidur Rasul Peringkat Politeknik Muadzam Shah. Pelbagai aktiviti bermanfaat diadakan antaranya Pertandingan Nasyid, Pertandingan Kain Rentang (Banner) dan Sesi Tazkirah dan Ceramah. Antara lain tujuannya adalah untuk memupuk semangat cintakan Nabi Muhammad SAW junjungan besar kita.

Pada 7 Februari lepas, telah diadakan Pertandingan Kain Rentang (banner/ sepanduk) dan pada sebelah malamnya pula diadakan Pertandingan Nasyid antara jabatan. Antara jabatan yang mengambil bahagian adalah Jabatan Perdagangan, Jabatan Teknologi Maklumat dan Komunikasi, Jabatan Pelancongan dan Hospitaliti, Jabatan Rekabentuk dan Komunikasi Visual dan Jabatan Kejurteraan Mekanikal. Untuk pengetahuan semua, Jabatan Perdagangan telah menghantar 2 pasukan Nasyid.

Bagi mengadili pertandingan tersebut, Jawatankuasa Sambutan Maulidur Rasul telah melantik dua orang juri iaitu Ustaz Badrul Hakimi bin Mohd. Bastamam dan En. Azri bin Abdul Rajid agar pertandingan tersebut diadili dengan adil dan saksama.

Keputusan Pertandingan Nasyid

Johan - Jabatan Perdagangan II (Dia Muhammad)

Naib Johan - Jabatan Rekabentuk dan Komunikasi Visual

Ketiga - Jabatan Perdagangan I (Rasulullah)

 

8 Februari 2012

Kemudian pada 8 Februari, hari kemuncak Sambutan Maulidur Rasul 2012 diadakan Solat Maghrib berjemaah kemudiannya disusuli dengan para jemaah sama-sama berselawat ke atas nabi. Selepas itu, diadakan pula sesi Tazkirah dari Ustaz Mohd Nizam bin Abdul Ghani. Sedikit cerita yang ingin penulis kongsikan di sini adalah:

Kelahiran Nabi Muhammad SAW menunjukkan tanda-tanda yang luar biasa. Siti Aminah tidak berasa sakit semasa melahirkan anaknya. Biasanya, bayi yang baru lahir sudah tentu menangis, tetapi Nabi Muhammad SAW tidak menangis, dia diam sahaja. Keadaannya seperti orang berfikir. Matanya bersinar-sinar seperti sedang melihat sesuatu. Kemudian dia bersin. Aminah pula berasa sangat gembira selepas melahirkan Muhammad bagaikan mendapat harta yang banyak.

“Pada malam Aminah melahirkan bayinya, saya berada di halaman rumahnya. Saya lihat rumah itu bermandikan cahaya. Bintang-bintang seperti sangat dekat, hingga saya bimbang sekiranya bintang itu jatuh di atas kepala saya,” kata Fatimah al-Thaqfiyah, jiran yang juga sahabat baik Aminah.

Menurut Fatimah al-Thaqfiyah lagi, apabila dia masuk ke dalam rumah Aminah, dilihatnya keadaan dalam rumah itu juga terang benderang. Dia hairan melihat Muhammad. Biasanya, bayi lahir terlentang, tetapi Muhammad lahir dalam keadaan tertiarap, kepalanya mendongak ke langit, jari-jarinya terangkat-angkat seolah-olah sedang mengucapkan sesuatu, matanya juga merenung ke langit, seolah-olah ada benda yang dipandangnya.

Kisah keganjilan Muhammad itu menarik perhatian jiran tetangga. Mereka datang ke rumah Aminah bagi melihat bayi yang dikatakan luar biasa itu. Akhirnya orang ramai tidak putus-putus mengunjungi rumah Aminah. Keadaan rumah itu juga tiba-tiba sahaja berubah. Rumah yang tidak bermaya selama ini, tiba-tiba sahaja berseri-seri dipandang serta menjadi tumpuan orang ramai.

Pada waktu malam pula, rumah itu terang benderang seperti sedang diterangi bulan purnama sedangkan ketika itu bulan tidak terbit. Kaum wanita pula amat suka melihat wajah bayi yang baru dilahirkan Aminah. Mereka terpesona kerana seolah-olah ada satu tarikan pada tubuh Muhammad.

Sumber: Siti Aminah Tidak Merasa Sakit Sewaktu Melahirkan Nabi Muhammad SAW!!

Penutup

Selesai sahaja sesi tazkirah, majlis diteruskan lagi dengan Solat Isyak berjemaah dan kemudiannya disusuli dengan Persembahan Nasyid dari pelajar AR201 dan sedikit penyampaian hadiah yang disempurnakan oleh Pengarah Politeknik Muadzam Shah, Hjh. Norlida binti Abd Razak.

 

*Keputusan pertandingan yang lain akan dikemaskini.

 

MyGOV 1Malaysia  JPP MAMPU MDEC MSC ePerolehan HRMIS LHDN PTPTN SPA SPR

 

Terakhir dikemaskini: Khamis, 24 April 2014

 

 fbrss

Statistik Pelawat

58003
Hari IniHari Ini75
KeseluruhanKeseluruhan58003

Mobile Web

Layari portal rasmi PMS menggunakan pelayar web telefon pintar anda.

MS ISO 9001 : 2008